...

BAB 1   PENDAHULUAN

 

1.1   Pengenalan


Lebuhraya Timur-Barat merupakan laluan terawal daripada 3 laluan yang menghubungkan negeri-negeri Pantai Barat dengan Pantai Timur di utara Semenanjung Malaysia. Lebuhraya yang menghubungkan Bandar Grik di Perak dengan Kampung Jeli di Kelantan ini mencapai ketinggian maksima 3440 kaki atau 1050m dari paras laut.

Pembinaan lebuhraya ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dengan menggunakan tenaga pekerjanya sendiri. Hanya kerja-kerja seperti pembinaan jambatan, pengkuarian bahan bumi serta penurapan jalan diserahkan kepada kontraktor seperti Bumi Highway Sdn. Bhd. dan Malaysian-Thai Development Sdn. Bhd.

Kerja-kerja pembinaan bermula pada bulan Oktober 1969 dilaksanakan tanpa penyiasatan geologi yang lengkap. Laluan lebuhraya yang ada pada hari ini merupakan laluan yang dibina berdasarkan trek panduan yang dibina pada fasa permulaan pembinaan lebuhraya ini. Umumnya, lebuhraya ini boleh dibahagikan kepada 2 bahagian, iaitu laluan dari KM 0 - 60 yang diwartakan kepada Jabatan Kerja Raya Grik sementara bermula dari KM 60 sehingga hujung lebuhraya ini diwartakan kepada Jabatan Kerja Raya Jeli. Kerja-kerja penyelenggaraan dipertanggungjawabkan kepada kawasan dalam penguatkuasaan masing-masing.



1.2   Tujuan kajian

Tujuan kajian adalah bagi pemetaan profil luluhawa di satu teren di Lebuhraya Timur-Barat, yang mana integrasi antara kaedah geofizik dan geologi kejuruteraan digunakan bagi mencapai tujuan tersebut. Kajian lapangan selama kira-kira 3 minggu telah dilakukan sepanjang bulan April dan Julai 1999 bagi memungut dan mencerap data yang relevan kepada objektif kajian ini.


1.3   Lokaliti kajian

Kawasan kajian terletak di antara garis bujur T 101o25' B hingga T 101o27' B dan garis lintang 05o34' T hingga 05o36' T. Kajian terperinci telah dilakukan pada teren metamorf di KM67, Lebuhraya Timur-Barat (Grik-Jeli). Teren kajian yang terletak pada KM67 ini juga merupakan titik tertinggi sepanjang lebuhraya tersebut dengan mencatatkan ketinggian 1050 m di atas paras laut.

Lebuhraya sepanjang kira-kira 117 km ini mula di bina pada 31 Oktober 1969 dan pada bulan Julai, 1983 penyiasatan cerun pada teren KM67 telah dimulakan sehingga siap kerja-kerja pembaikan cerun dan tambakan pada 15hb Januari 1987. Sehingga hari ini, kawasan kajian yang terletak di lebuhraya tersebut masih diwartakan sebagai kawasan keselamatan dan pihak tentera sering kelihatan membuat rondaan di kawasan ini. Peta 1.1



1.4   Methodologi kajian

Penentuan kaedah atau methodologi kajian adalah penting bagi mencapai atau memenuhi kehendak parameter-parameter bagi menggambarkan keadaan sebenar di lapangan. Kajian yang agak menyeluruh dijalankan dalam 2 aspek iaitu kerjalapangan dan kerja pengkhususan di dalam makmal.

1.4.1 Kerjalapangan

Di antara survei yang dilakukan di lapangan termasuklah kaedah seismos biasan, kaedah keberintangan elektrik (geoelektrik) serta pencirian gred luluhawa berdasarkan sifat kejuruteraan jasad batuan. Kaedah survei seismos biasan dilakukan pada bulan April, 1999 sepanjang 10 teres pada teren ini bagi memperolehi halaju gelombang P. Survei seismos biasan ini dapat menganggarkan nilai purata halaju gelombang P dalam batuan metamorf. Survei seismos biasan menggunakan punca gelombang S pula dilakukan pada bulan Julai, 1999. Nisbah Poisson boleh dikira dengan rumus yang memerlukan input halaju gelombang P dan S. Berbanding dengan survei gelombang P, survei seismos biasan menggunakan punca gelombang S ini hanya dilakukan di tempat-tempat terpilih sahaja, iaitu berdasarkan gred luluhawa jasad batuan.

Pemetaan dan pengelasan profil luluhawa dijalankan dengan berpandukan sifat kejuruteraan profil luluhawa jasad batuan. Kaedah yang digunakan ialah dengan berpandukan pengelasan profil luluhawa yang dibina berasaskan proses luluhawa dari segi fizik dan kimia jasad bahan batuan tersebut. Berdasarkan pengelasan jasad batuan terluluhawa, pengelasan luluhawa boleh dibahagikan kepada 6 gred, I-VI yang rata-ratanya menyerupai pengelasan oleh ISRM (1981) dan IAEG (1981). Dengan berbekalkan tukul geologi, kanta tangan dan pita ukur, pencirian profil luluhawa dibuat berdasarkan tabii profil luluhawa serta cirian fizik iaitu tekstur dan struktur jasad.

Kajian geologi stuktur telah dilakukan di lapangan, dengan menekankan khasnya struktur sekunder yang disebabkan oleh canggaan. Survei ketakselanjaran pada teren ini juga dilakukan di sepanjang kesemua cerun untuk melihat aspek kestabilan cerun batuan tersebut.

Sampel-sampel bongkah batuan yang berukuran kira-kira 3" x 3" diambil dan dibuat irisan nipis untuk analisis petrografi. Manakala blok-blok batuan berukuran kira-kira 5" x 5" pula diambil untuk dijadikan teras bagi ujian-ujian mekanik batuan. Sampel tanah dari lapisan penutup (top soil) juga diambil untuk penentuan sifat mekanik tanah tersebut.


1.4.2 Kajian makmal

Kerja pengkhususan di makmal merupakan lanjutan daripada kajian yang dilakukan di lapangan. Antara kajian makmal yang dilakukan termasuklah memproses dan menafsirkan data-data seismik yang diperolehi daripada kedua-dua survei seismos biasan (gelombang P dan gelombang S), kajian petrografi dan tafsiran petrologi ke atas irisan nipis, serta penentuan arah daya tegasan daripada analisis data-data struktur.

Data-data yang diperolehi dari survei ketakselanjaran pula dianalisis dan digunakan untuk mentafsirkan kestabilan cerun. Manakala data yang diperolehi daripada survei profil luluhawa diproses dan suatu pendekatan pemetaan serta pengelasan profil luluhawa syis dilakukan berdasarkan cerapan yang dilakukan ke atas teren tersebut semasa kerjalapangan.

Seterusnya, ujian halaju ultrasonik ke atas 34 sampel teras batuan syis dilakukan ke untuk menentukan sifat fizik dan modulus dinamik jasad batuan tersebut. Sampel-sampel bongkah teras dijadikan suatu teras silinder yang mana ukuran geometrinya dijadikan malar bagi kesemua 34 teras tersebut.

Penafsiran peta geologi dan peta topografi juga telah dibuat untuk mengkaji beberapa aspek geologi dan geografi seperti unit litologi, geomorfologi, perhubungan dan saliran.



1.5   Kajian terdahulu

Kajian geologi di sekitar kawasan Grik dan Lebuh Raya Timur-Barat pernah dilakukan oleh beberapa pengkaji sejak 1970an lagi. Di antara pengkaji-pengkaji terawal ialah Jones (1970) dan Van Klinken (1970).

Beberapa aspek seperti geologi am, geologi struktur dan geologi kejuruteraan telah dikaji dengan agak terperinci di sepanjang lebuhraya ini oleh Tan (1984), Kamal Roslan Mohamed (1984), Zulkifli Salleh (1984), Mohd Zaini Madi (1984), Mohd Ashri Muda (1984), Jasmi Talib (1984) dan Mohd Fauzi (1988) di bahagian barat lebuhraya ini; Rohayu Che Omar (1995), Abdul Halim Mohd Yussof (1987), Syed Syeikh Al Mashoor (1987), Syed Syeikh Al Mashoor dan Tjia (1987), Santokh Singh et al. (1984) dan Wong (1974) (seperti yang dinyatakan dalam Tajul Anuar Jamaluddin, 1990).

Pemetaan geologi di sepanjang lebuhraya ini telah dilakukan oleh juga Moh & Assoc. International Ltd. (1983), Ibrahim Komoo dan Abdul Ghani Rafek (1988, 1989) dan Tajul Anuar Jamaluddin (1990). Mereka pada amnya telah membahagikan kawasan kepada unit-unit litologi dan memetakan sempadan batuan. Formasi Baling yang terdiri daripada batu pasir greiwak, batu lodak, syal, rijang dan sedikit tuf serta batuan metamorf rantau dan dinamik bergred rendah seperti metagreiwak, metatuf, sabak, filit serta sedikit syis tersingkap di bahagian barat lebuhraya; manakala batuan metamorf rantau berfasies syis hijau hingga amfibolit awal seperti filit, filit bertuf, syis kuarza mika, syis mika, syis amfibol, metakuarzit dan sedikit gneis tersingkap di bahagian tengah dan timur lebuhraya ini. Jasad igneus rejahan seperti granit biotit berbutir halus hingga sederhana dan berbutir kasar serta sedikit bertekstur profiritik ditemui di tengah kawasan ini manakala granit biotit-hornblend atau granit samar berusia Kapur (Santokh Singh et al.,1984) tersingkap di bahagian timur, di sekitar Batu Melintang hingga ke Sri Pergau.

Empat arah tegasan utama yang ditemui bertindak di sekitar lebuhraya timur-barat ini ialah timurlaut-baratdaya (NE-SW), timur-barat (E-W), baratlaut-tenggara (NW-SE) dan utara-selatan (N-S). Walaupun arah timur-barat yang dikatakan sebagai arah yang tegasan paling dominan yang diakibatkan oleh penerobosan granit Banjaran Besar di Pantai Timur, namun usia sebenar granit tersebut masih menjadi persoalan (Paleozoik Atas atau Trias bawah?)(Zulkifli Salleh, 1984). Arah tegasan tenggara-barat laut pula dikatakan hasil daripada terbitan penerobosan granit di kawasan timur Semenanjung pada masa Perm Bawah hingga Trias Atas atau Perm hingga Trias Bawah (Zulkifli Salleh, 1984). Jujukan batuan metamorf-metasedimen dikatakan terlipat ke dalam siri lipatan yang paksinya secara am berjurus utara-selatan, manakala pengaruh tegasan mampatan pada arah timur-barat menghasilkan beberapa zon sesar sungkup yang menunjukkan angkutan tektonik ke arah barat hingga baratdaya serta terdapat pembentukan beberapa buah zon oilstostrom tericih (Tajul Anuar Jamaluddin, 1990).

Aspek kegagalan cerun seperti tanah runtuh, jatuhan batuan, gelinciran jenis aliran, kegagalan bentuk baji dan sebagainya dilaporkan oleh Mohd Zaini Madi (1984), Mohd Ashri Muda (1984), Jasni Talib (1984), Mohd Fauzi (1988) dan Tajul Anuar Jamaluddin (1990).



1.6   Masalah-masalah dan limitasi

Kerjalapangan sering tergendala disebabkan cuaca yang tidak menentu seperti hujan bukit. Blok-blok batuan yang jatuh di setengah-setengah tempat dan menutupi singkapan menyukarkan penulis untuk membuat cerapan lapangan. Atas sebab-sebab keselamatan, kerjalapangan juga terhad kepada kawasan di sepanjang lebuhraya sahaja. Dengan ini kajian lanjutan untuk melengkapkan penulisan adalah terbatas.

 

.[ Cover ] [ Abstrak ] [ Kandungan ] [ Bab 1 ] [ Bab 2 ] [ Bab 3 ] [ Bab 4 ] [ Bab 5 ] [ Bab 6 ] [ Bab 7 ]

[ Home ] [ Main ].[ Thesis Updates ].     Top

DLEH < Copyrights © 2003. All Rights Reserved IIII
Report bad links to:
Webm@ster