...

BAB 7   PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN

 

7.1   Perbincangan

Profil luluhawa pada cerun potongan di kawasan kajian berjaya dipetakan melalui integrasi kaedah geofizik yang meliputi survei seismos biasan dan aspek geologi kejuruteraan, khususnya dalam mengkaji dan mencirikan bahan terluluhawa syis kuarza-mika secara terperinci.

Pencirian profil luluhawa dilakukan di lapangan berdasarkan pengelasan kejuruteraan bahan terluluhawa yang umumnya dapat membezakan bahan yang berbeza darjah perluluhawaannya. Pencirian ini dilakukan berdasarkan sifat-sifat tekstur dan mineralogi bahan terluluhawa seperti pengawetan tekstur, pelunturan warna, kekerasan dan kebolehancuran jasad batuan induk. Rata-ratanya, gred luluhawa menyusut dengan pertambahan kedalaman, iaitu dari permukaan atas cerun di teres 9 hingga ke teres 1. Perubahan gred luluhawa juga dapat diperhatikan di tepi-tepi cerun di mana didapati batuan yang lebih segar terletak di tengah-tengah cerun potongan.

Survei seismos biasan yang dijalankan telah berjaya memetakan sempadan jasad batuan segar yang rata-ratanya berada di tengah dan di bawah cerun potongan di kawasan kajian; serta profil luluhawa yang menebal di bahagian atas dan di tepi cerun potongan. Halaju seismos (gelombang P dan S) menunjukkan trend yang berkurangan dengan gred luluhawa yang mana batuan yang lebih keras mempunyai halaju gelombang seismos yang lebih tinggi. Didapati halaju gelombang P bagi batuan syis kuarza-mika yang segar ialah sekitar 4170 hingga 5694 ms-1; manakala halaju gelombang P bagi batuan syis kuarza-mika yang terluluhawa sedikit pula berkisar di antara 2054 hingga 3966 ms-1. Halaju gelombang P bagi batuan bergred III dan IV pula masing-masing berjulat antara 1240 hingga 1979ms-1 dan 511 hingga 1203ms-1. Purata halaju gelombang P bagi bahan bergred V pula adalah sekitar 499ms-1 dan 182ms-1 bagi bahan bergred VI (yang juga merupakan tanah baki). Di samping itu, nisbah Poisson yang ditakrifkan dari halaju gelombang P dan gelombang S boleh digunakan bagi mencirikan batuan yang dikaji, khususnya dari segi sifat fizik dan dinamik batuan tersebut. Didapati nisbah Poisson bagi batuan bergred III berkisar di antara 0.24 hingga 0.32; dan sekitar 0.21 hingga 0.33 bagi bahan bergred IV. Namun, nisbah Poisson yang dikira tersebut tidak dapat dikorelasikan secara terus dengan gred luluhawa kerana terdapat pertindihan nilai, iaitu antara batuan bergred III dengan bahan bergred IV. Pertindihan nilai ini mungkin disebabkan oleh ketidakhomogenan bahan yang dikaji, sama ada jasad batuan (gred I-III) ataupun bahan tanah (IV-VI).

Ujian halaju denyutan ultrasonik di makmal pula berjaya memperolehi perwakilan halaju gelombang P dan gelombang S serta nilai modulus-modulus kenyal dan dinamik bagi batuan syis kuarza-mika yang tersingkap di kawasan kajian. Kira-kira 79% daripada sampel teras batuan yang diuji mempunyai nilai taburan halaju gelombang P yang meluas di antara 4000 ms-1 hingga 8000 ms-1 dan 76% bagi halaju gelombang S yang berjulat antara 2000 ms-1 hingga 4500 ms-1. Beberapa hubungan antara modulus-modulus kenyal batuan dengan halaju gelombang P dan gelombang S juga turut diperhatikan. Perhubungan di antara modulus-modulus kenyal dinamik (modulus Young, ricih dan pukal) dengan halaju sekunder (Vs) ditunjukkan oleh cirian graf kurvilinear kuadratik yang berkecerunan positif. Selain itu, halaju gelombang P dan gelombang S dari ujian halaju denyut ultrasonik juga menunjukkan trend yang sama dengan halaju-halaju seismos, iaitu berlaku penyusutan halaju dengan peningkatan gred luluhawa. Didapati juga purata nisbah Poisson bagi batuan syis kuarza-mika yang hampir segar dan terluluhawa sedikit adalah sekitar 0.30.

Ujian sifat fizik dan mekanik tanah serta batuan pula berjaya menghubungkaitkan beberapa parameter-parameter asas fizik dan sifat mekanik dengan indeks luluhawa. Secara amnya didapati perubahan dalam tekstur dan komposisi mineral pembentuk batuan didapati merupakan faktor yang mempengaruhi kuantiti-kuantiti fizik dan nilai-nilai kekuatan dan kekerasan dalam ujian mekanik batuan. Perubahan ini seiringan dengan alterasi atau perubahan yang dialami oleh tanah dan batuan yang seterusnya mempamerkan darjah perluluhawaan yang berbeza-beza.


7.2   Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, kaedah integrasi yang dilakukan dapat mencirikan profil luluhawa batuan syis kuarza-mika dengan terperinci dan berjaya mengemukakan beberapa hasil ujian yang memuaskan. Di antaranya ialah:
- Peta profil luluhawa yang merangkumi pengelasan kejuruteraan bahan terluluhawa bagi jasad batuan induk syis kuarza-mika yang tersingkap di kawasan kajian
- Mencirikan tanah dan batuan syis kuarza-mika berdasarkan halaju seismos dan sonik serta menunjukkan korelasi yang rapat di antara halaju seismos dan sonik dengan gred luluhawa
- Melaporkan dan mengemukakan hasil ujikaji yang merangkumi aspek fizik, mekanik dan mineralogi bahan terluluhawa yang berbeza-beza dan membincangkan perkaitannya dengan darjah perluluhawaan

Di antara kerja-kerja lanjutan yang akan mungkin dilakukan oleh penulis sekiranya terdapat peruntukan masa yang mengizinkan ialah:-
- Penyiasatan kestabilan cerun dan analisis ketakselanjaran
- Korelasi antara halaju seismos dengan parameter mekanik batuan yang merangkumi kekerapan kekar dan nilai Penilai Mutu Batuan (PMB) bagi jasad batuan yang berbeza-beza dari segi darjah perluluhawaannya
- Penentuan kualitatif anistropi jasad batuan dengan menggunakan teknik seismos biasan

 

.[ Cover ] [ Abstrak ] [ Kandungan ] [ Bab 1 ] [ Bab 2 ] [ Bab 3 ] [ Bab 4 ] [ Bab 5 ] [ Bab 6 ] [ Bab 7 ]

[ Home ] [ Main ].[ Thesis Updates ].     Top

DLEH < Copyrights © 2003. All Rights Reserved IIII
Report bad links to:
Webm@ster